ISTANBUL, 10 Jun – Presiden Recep Tayyip Erdogan, semalam mengecam tindakan Austria menutup masjid dan mengusir imam dibiayai Turki, mengutuk keputusan itu sebagai anti-Islam dan berjanji akan bertindak balas.
“Langkah yang diambil Perdana Menteri Austria itu, saya bimbang, membawa dunia ke arah peperangan antara Kristian dan Islam,” kata Erdogan dalam ucapan di Istanbul
Komennya dibuat sehari selepas kerajaan Austria mengumumkan ia akan mengusir 60 imam dan keluarga mereka dan menutup 70 masjid sebagai sebahagian kempen menghapuskan ‘politik Islam’, mencetuskan kemarahan di Ankara.
Menteri Dalam Negeri, Herbert Kickl, dari Parti Kebebasan (FPOe) yang berhaluan kanan, iaitu rakan dalam kerajaan campuran Austria, berkata langkah itu membimbangkan imam yang didakwa ada kaitan dengan Pertubuhan Kebudayaan Islam Turki (ATIB), cabang agensi hal ehwal agama Diyanet.
Kickl menambah, kerajaan mengesyaki mereka melanggar larangan pembiayaan asing kepada kakitangan pejabat agama.
Jurucakap presiden Turki, kelmarin menyifatkan langkah Austria itu sebagai ‘cermin kepada anti-Islam, bersifat perkauman dan gelombang diskriminasi di negara itu.’
Bagaimanapun, pemimpin berhaluan kanan Eropah menyambut baik pengumuman itu. – AFP