KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Rakyat perlu memberikan masa dan kepercayaan kepada Pakatan Harapan (Harapan) untuk menunaikan janji-janji manifestonya.
Pengerusi Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, adalah tidak adil untuk terus menghukum Harapan dan menuntut janji, sedangkan mereka baharu sahaja sebulan memerintah negara.
Menurutnya, jika dilihat dan dikaji, faktor kewangan adalah yang paling utama dalam menunaikan sebahagian besar daripada manifesto itu.
“Tapi apabila melihat situasi kewangan negara yang jauh lagi teruk daripada yang kita jangka, itu merupakan satu kekangan yang dibuat BN dahulu. Kita lihat sahajalah isu hutang negara misalnya, bekas Perdana Menteri menyatakan hutang hanya RM600 bilion sahaja.
“Walhal apabila kita selidik fail-fail merah dan fail-fail rahsia, angka itu boleh dikatakan berganda iaitu RM1.1 trilion. Jadi, kalau keadaan sebegitu rupa, macam mana kita nak menunaikan janji dalam masa terdekat kerana semasa kita buat janji manifesto dulu, kita tidak tahu sebegitu keadaannya.
“Jika mereka sengaja menipu dengan angka-angka yang tidak betul, macam mana mereka (pembangkang) nak suruh kita tunaikan janji,” katanya.
Jelas beliau, pembangkang khususnya, perlu berlaku adil dan berhenti memberikan gambaran yang tidak benar.
“Macam mana kita nak buat pelaksanaan dengan fakta yang jauh berbeza, bukan sedikit. Bukan 20 peratus, bukan 30 peratus tetapi hampir 100 peratus lari daripada angka yang diberitahu. Hutang negara terlalu tinggi.
“Jadi, kita kena tengok keutamaan dalam manifesto, bukannya kita tak tunaikan langsung. Kita tunaikan atas kemampuan yang ada pada hari ini. Kita perlu menjadi kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah contoh kerajaan yang tak bertanggungjawab kerana memberikan wang sesuka hati.
Natijahnya, bebanan hutang yang ditanggung terlalu tinggi hingga memerlukan tempoh yang lama untuk melangsaikannya.
“Adakah kita nak kerajaan seperti dahulu, tawarkan nikmat jangka masa pendek tapi tanggungan itu amat besar implikasinya.
“Tabung Harapan Malaysia yang diwujudkan untuk rakyat membantu negara mendapat sambutan yang cukup baik. Ini menunjukkan sebahagian besar rakyat sedar bahawa kita sebenarnya dalam keadaan yang agak teruk. Kalau tidak, takkanlah begitu ramai yang menyumbang,” katanya.