Home Semasa 1MDB: Jho Low dan Tan Kim Loong dalam Notis Merah Interpol

1MDB: Jho Low dan Tan Kim Loong dalam Notis Merah Interpol

by M.Daim

Singapura, 9 Jun – Pihak berkuasa Singapura menyatakan Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low telah disenaraikan dalam Notis Merah Interpol pada Oktober 2016. Singapura telah meminta bantuan pihak Interpol untuk mengesan Jho Low dan rakan niaganya, Tan Kim Loong bagi membantu siasatan 1MDB.

Notis Merah Interpol adalah permintaan oleh negara anggota untuk mencari dan menahan individu yang dikehendaki berdasarkan waran tangkap sesebuah negara yang sah.

“Semua anggota Interpol, termasuk Malaysia, akan menyedari Notis Merah itu sebaik ia dikeluarkan,” menurut kenyataan bersama oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD), Pasukan Polis Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), hari ini.

Kenyataan itu berkata, agensi penguatkuasaan undang-undang Singapura secara aktif menyiasat kemungkinan pengubahan wang haram dan kesalahan lain yang berkaitan dengan aliran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula Mac 2015.

“Singapura tidak akan bertolak ansur bagi penggunaan sistem kewangannya sebagai perlindungan atau saluran untuk dana haram,” menurut kenyataan itu.

“Kami sudah mengambil tindakan tegas terhadap institusi kewangan dan individu yang melanggar undang-undang dalam bidang kuasa kami berkaitan aliran dana 1MDB, termasuk tuduhan jenayah dan sabitan, serta mengenakan denda kewangan yang besar.

“Siasatan masih diteruskan terhadap beberapa suspek individu lain yang terbabit dalam kesalahan berkaitan 1MDB di Singapura,” katanya.

Kenyataan itu juga berkata, pegawai dari AGC, CAD dan MAS sudah mengadakan mesyuarat dengan Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia diketuai bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di Singapura, pada Khamis.

Mesyuarat itu diadakan atas jemputan pihak berkuasa Singapura dan diikuti mesyuarat terdahulu dengan Pasukan Petugas Khas 1MDB minggu lalu di Kuala Lumpur.

Ia adalah mesyuarat yang sangat produktif, dengan pertukaran maklumat yang bermanfaat.

Singapura sudah menyediakan maklumat kepada Malaysia mengenai aliran dana berkaitan 1MDB, sejak Mac 2015, dan ini diakui oleh Malaysia.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini, menurut kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!