PUTRAJAYA, 8 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mungkin membatalkan hukuman gantung ke atas bekas pegawai polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia mungkin diganti dengan hukuman penjara supaya dia boleh diekstradisi ke Malaysia.
“Sirul tak boleh balik sebab Australia tidak benarkan seseorang yang dijatuhi hukuman mati pulang, ia undang-undang yang mereka guna.
“Kita mungkin akan batalkan hukuman gantung, tapi digantikan dengan hukuman penjara supaya beliau boleh kembali ke tanah air,” katanya sambil berkata usaha membawa Sirul pulang ke Malaysia akan terbantut jika hukuman mati dikekalkan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra, hari ini.
Ditanya adakah Putrajaya akan membuka semula kertas siasatan ke atas pembunuhan Altantuya, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita akan lihat balik untuk mulakan semula kes Altantuya.”
Beliau turut menafikan laporan The Guardian yang Putrajaya sudah membuat permohonan untuk mengekstradisi Sirul.
“Kita tidak minta,” katanya.
Akhbar United Kingdom itu memetik beberapa sumber sebagai berkata, Australia menerima permohonan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul selepas Putrajaya bersetuju membayar kos berkaitan dan dia dijangka meninggalkan negara itu dalam masa sebulan.
Sirul melarikan diri ke Australia selepas dia dan bekas cif inspektor, Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya di sebuah hutan di Subang pada 2006 dengan badannya diletupkan menggunakan bahan peledak.
Sirul ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sejak 3 tahun lalu, sementara Azilah menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.