SHAH ALAM, 3 Jun – Peguam negara perlu dilantik dalam kalangan mereka yang mampu mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan.
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, lebih-lebih lagi antara tugas utama peguam negara adalah menjadi penasihat undang-undang utama kepada kerajaan Malaysia.
“Islam adalah agama Persekutuan dan pelantikan peguam negara mesti bertitik tolak dari situ. Sumpah Yang di-Pertuan Agong adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di mana baginda bersumpah ‘memelihara pada setiap masa agama Islam’.
“Maka peguam negara yang dicadangkan kerajaan untuk dilantik oleh Agong mestilah mampu untuk memelihara agama Islam bagi pihak baginda. Agak janggal sekiranya peguam negara dilantik daripada yang bukan Islam atau mana-mana individu yang tidak mampu untuk menggalas tugas tersebut dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelantikan peguam negara juga mesti menepati kehendak majoriti penduduk negara yang beragama Islam.
“Sensitiviti umat Islam wajar dipelihara. Mestilah mengelak daripada melantik seorang peguam negara yang kecenderungan pemikirannya adalah bercanggah dengan Islam sebagai agama negara,” katanya.
Katanya, Pas turut menyokong sekiranya Agong menolak cadangan Pakatan Harapan untuk melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara.
“Umat Islam serta mereka yang mengutamakan keharmonian dan menghormati institusi raja-raja Melayu juga harus bersama memberi sokongan yang padu,” katanya.