Home PolitikPakatan Harapan Mat Sabu terima sambutan luar jangka di Singapura

Mat Sabu terima sambutan luar jangka di Singapura

by Nurulhuda

SINGAPURA, 3 Jun – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tidak menjangka masyarakat umum di Singapura turut mengikuti perkembangan politik di Malaysia.

Kunjungan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, ke Masjid Sultan untuk menunaikan solat Jumaat telah dikerumuni jemaah yang terdiri daripada rakyat tempatan dan asing untuk merakam gambar bersamanya.

“Saya tidak menjangkakan sambutan sebegini. Saya tidak sangka mereka mengikuti perkembangan politik tanah air kita,” kata Presiden Parti Amanah Negara ketika ditanya tentang sambutan luar jangkaan itu.

Mohamad tiba di republik ini sejak Jumaat lalu bagi menghadiri Dialog Shangri La (SLD) edisi ke-17 yang sedang berlangsung di sini.

Beliau merupakan menteri Kabinet Malaysia yang baharu selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 awal bulan lepas.

Rata-rata, gambar-gambar bersama masyarakat di sini dapat dilihat dikongsi di media sosial.

“Salam Jumaat. Haji Mohamad bin Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia di Masjid Sultan Singapura tadi. Seorang lelaki yang sederhana,” menurut sebuah laman Facebook yang turut memaparkan gambar pemimpin itu.

“Seorang pemimpin berjiwa rakyat. Alhamdulillah,” tambahnya.

Sambutan sama turut dirasai beliau di Shangri La Hotel di mana dialog tiga hari itu berlangsung.

Difahamkan Mohamad akan dihampiri peserta, malah pekerja hotel untuk merakamkan gambar bersamanya.

Mohamad akan berlepas pulang hari ini selepas pertemuan bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!