Home PolitikBarisan Nasional Ku Li disaran bertanding presiden UMNO, sukar buat keputusan

Ku Li disaran bertanding presiden UMNO, sukar buat keputusan

by Nurulhuda

GUA MUSANG, 3 Jun – Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah masih mempertimbangkan cadangan beberapa pihak supaya beliau bertanding bagi merebut jawatan presiden parti pada pemilihan UMNO akan datang.

Tengku Razaleigh berkata, beliau menghargai sokongan dan pandangan ahli parti, terutama di peringkat akar umbi, yang mahukannya mengambil alih pimpinan parti.

Namun, katanya, beliau perlukan masa untuk berfikir dan menilainya daripada pelbagai sudut.

“Terima kasih atas sokongan yang dizahir oleh pemimpin peringkat akar umbi seluruh negara yang membayangkan mereka hendakkan saya mengambil alih pimpinan parti.

“Tetapi ada juga orang lain yang layak memegang jawatan ini. Ini bukan sesuatu yang mudah, dengan kadar sekarang, parti kita baru mengalami keadaan yang tak pernah dirasainya atau dilaluinya.

“Pertama kali UMNO sebagai komponen parti Barisan Nasional (BN) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

“Hilang kuasa bukan sahaja di peringkat negeri-negeri yang pernah dikuasainya, tetapi juga di peringkat pusat, dan telah tidak lagi mempunyai pengaruh di banyak lapangan.

“Tetapi mesti diingat, UMNO masih kuat, masih disanjung oleh sebilangan besar pengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang dan majlis Berbuka Puasa di Bukit Cekati, di sini, pada Sabtu.

Tengku Razaleigh juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berharap agar pesaing lamanya itu mentadbir negara dengan baik.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li pernah menjadi Menteri Kewangan pada 1976 – 1984.

Pada usia 81 tahun, Ku Li merupakan wakil rakyat paling lama selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang dimenangi pada 1974, pada PRU ke-14 baru-baru ini.

Sebelum ini, UMNO Cawangan Mak Chili di Kemaman, Terengganu pernah mencadangkan Ku Li dipilih sebagai Presiden UMNO untuk penggal 2018 hingga 2021.

Usul sama dibuat UMNO Cawangan Banggol Lepah di Ketereh, Kelantan, yang mencalonkan beliau untuk jawatan Presiden pada Pemilihan Agung UMNO 2018.

Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, turut dilaporkan berkata, Ku Li dilihat calon terbaik untuk mengembalikan kekuatan serta semangat ahli UMNO selepas mengalami kekalahan teruk pada PRU14.

Menurutnya, perwakilan UMNO di seluruh negara wajar mempertimbangkan cadangan itu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!