PASIR PUTEH, 2 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar putus asa terlalu cepat, sebaliknya perlu terus mencari jalan untuk menunaikan janji 100 hari dibuat mereka kepada rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, adalah terlalu awal untuk kerajaan PH menyerah kalah dan mengumumkan tidak boleh melaksanakan semua janji 100 hari berkenaan.
Dalam masa sama katanya, semua pihak di negara ini perlu memberi peluang kepada kerajaan Pusat yang baru dibentuk menyusun strategi terlebih dahulu, bukannya mengkritik membuta tuli dan mengharapkan semua perkara dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya yakin berita mengenai kerajaan tidak dapat laksana janji 100 hari mengecewakan rakyat sebab ini adalah komitmen mereka ketika mengumumkan janji-janji tersebut.
“PH suddah buat tawaran sebelum ini dan rakyat telah memilih mereka. Tidak bolehlah cepat menyerah kalah, patut teruskan usaha untuk laksanakan janji yang pernah dibuat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Tadarus dan Ceramah Badar Al-Kubra di Padang Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Bukit Yong, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam mengakui bahawa kerajaan pimpinannya sukar menunaikan Janji 100 Hari PH yang menjadi manifesto gabungan itu berdasarkan status kewangan negara ketika ini.
Walaupun pernah membuat janji tersebut kepada rakyat ketika PRU-14, beliau berkata perkara terbabit tidak bersandarkan kepada keadaan kewangan negara ketika ini yang disifatkan sebagai terlalu buruk.