KUALA LUMPUR, 2 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan Malaysia dan India bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk meneliti isu-isu berkaitan bidang teknologi, anti perang siber, anti keganasan dan pembasmian kemiskinan.
Beliau berkata kedua-dua negara melahirkan komitmen untuk bekerjasama secara erat dalam kesemua isu terbabit selepas perbincangan kira-kira 30 minit diadakan antaranya bersama Perdana Menteri India Narendra Modi yang singgah di Malaysia dalam lawatan singkatnya semalam.
“Saya rasa pasukan petugas ini adalah idea yang baik. Kita sedang menghadapi ancaman serantau seperti perang siber dan keganasan yang melemahkan keselamatan negara kita.
Pandangan saya kerjasama ini penting sebagai langkah ke hadapan untuk mengukuhkan lagi negara di dalam bidang ‘kecerdasan buatan’ dan pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Pertemuan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang turut disertai suami Dr Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan.
Sementara itu, Modi seperti dipetik kenyataan itu menjelaskan bahawa pasukan petugas itu antara lain akan bertanggungjawab mencadangkan bidang-bidang kerjasama dua negara, menetapkan program, sasaran dan tarikh akhir setiap sasaran.
“Sekiranya pasukan petugas yang ditubuhkan di Malaysia dapat melawat India, pihak kami juga akan menubuhkan pasukan petugas. Pelbagai perkara dapat dibincangkan dengan teliti, seperti teknologi maklumat, perisian, kecerdasan buatan, keselamatan siber dan menentukan bidang sasaran serta pelan tindakan,” kata Modi.
Modi menegaskan pengganas masa kini mempunyai rangkaian global yang luas dan sistem sokongan sendiri, malah kesalinghubungan pengganas masa kini mungkin lebih bagus dan menjadikan pengganas ancaman terbesar buat umat manusia.
Beliau turut menyentuh mengenai dasar “Akta Timur” India yang memberi tumpuan kepada isu-isu seperti kemudahan perhubungan, perdagangan, hubungan manusiawi, ruang angkasa, maritim, yang mana Malaysia menjadi negara keutamaan India.
“Saya dapat melihat bahawa terdapat penumpuan antara pandangan anda dan tindakan yang telah kami ambil, dan kami ingin membawanya lebih jauh di bawah kepimpinan anda,” katanya.
Dalam pada itu, Modi turut memuji Dr Wan Azizah atas keberanian dan kecekalannya berjuang mengubah kerajaan terdahulu.
“Hanya sebilangan sahaja di dunia ini yang dapat menanggung dan melaksanakan tanggungjawab ini seperti anda. Nama dan sumbangan anda akan termaktub di dalam sejarah negara ini. Keadaan yang anda hadapi, perjuangan yang dipimpin.
Anda tidak mempunyai minat dalam politik tetapi anda menggalasnya sebagai sebuah tanggungjawab. Anda berjaya melakukannya dengan penuh jaya. Saya rasa ini hebat,” katanya.
Modi yang dalam rangka lawatan ke rantau Asia Tenggara, singgah sebentar ke Malaysia untuk menyampaikan ucap selamat dan tahniahnya secara peribadi kepada Dr Mahathir atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.