Putrajaya, 29 Mei – Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam yang mendakwa tujuh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyalahguna kuasa pada dua pilihan raya umum sebelum ini.
Presiden Pahlawan Asri Buang berkata, pegawai berkenaan didakwa mengarahkan anggota tentera agar berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dan mengundi parti itu pada hari pengundian awam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) awal bulan ini.
“Kami menerima maklumat bahawa mereka turut mengarahkan agar aset-aset tentera digunakan untuk tujuan kempen BN bagi dua pilihan raya iaitu PRU-14 dan PRU-13.
“Malah, beberapa bilik premis termasuk bangunan milik ATM turut digunakan sebagai bilik gerakan BN sekali gus dilihat sebagai salah guna kuasa demi kepentingan pihak tertentu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Dalam, pada itu, katanya, anggota tentera termasuk pegawai kanannya perlu bertindak profesional dan bukannya mengeluarkan arahan supaya menyokong mana-mana parti politik untuk kepentingan pihak tertentu.
“Mereka perlu bebas untuk memilih dan menyokong mana-mana parti politik. Sejak kebelakangan ini, kami selaku bekas anggota ATM mendapati anggota tentera digunakan untuk kepentingan parti politik,” katanya.
Katanya, beliau berharap agar SPRM dapat menjalankan siasatan terhadap pegawai terbabit kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi pada masa hadapan.