Home SemasaGlobal Gaji Jokowi lebih rendah berbanding Megawati

Gaji Jokowi lebih rendah berbanding Megawati

by Noor Sheila Amin

JAKARTA – INDONESIA, 28 Mei – Banyak pihak mempersoalkan gaji diterima bekas presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri 112 juta rupiah (RM31,886) sebulan yang memegang tugas sebagai Ketua Dewan Pengarah Badan Pembinaan Ideologi Pancasila (BPIP).

Ia didakwa jauh lebih tinggi berbanding Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang memperoleh 62 juta rupiah (RM17,651) sebulan.

Semalam, Setiausaha Agung Parti Berkarya, Priyo Budi Santosi berkata, pemberian gaji itu adalah hak pemerintah, namun beliau agak terkejut dengan jumlah tersebut.

Menurut Priyo, ia bakal mencetuskan kesan tidak baik memandangkan keadaan ekonomi negara itu masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya bimbang rakyat akan mempertikaikan kewajaran kerajaan memberikan gaji setinggi itu dalam situasi ekonomi sekarang,” katanya yang turut membuat perbandingan dengan Malaysia.

“Kita patut malu. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah memotong gaji para menteri di bawah pentadbiran beliau untuk membayar hutang luar negara,” ujarnya.

Sementara itu, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) turut berasa kesal dengan jumlah gaji tersebut.

“Ia sangat memalukan kerana kita membayar gaji di luar kemampuan di saat negara sedang berdepan defisit dan bebanan hutang,” kata pengerusinya, Mardani Ali Sera.

Rabu lalu, Jokowi menandatangani peraturan presiden No 42 Tahun 2018 tentang hak kewangan dan kemudahan untuk pemimpin, pejabat dan pegawai BPIP. – Agensi

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!