Home PolitikBarisan Nasional Jamal didakwa di wad hospital

Jamal didakwa di wad hospital

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengalami sakit belakang terpaksa didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, hari ini, atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin yang diiringi jurubahasa mahkamah dan pegawai penyiasat, tiba di wad premium hospital itu untuk membacakan tuduhan terhadap Jamal, 48, pada 10.45 pagi.

Media tidak dibenarkan masuk ketika prosiding selama setengah jam itu malah, pintu masuk ke wad berkenaan turut dijaga oleh pengawal keselamatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jamal didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak dengan menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan pintu pagar keluar pos 1, Bangunan SUK Shah Alam, 10.15 pagi, pada 5 Oktober 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum denda maksimum RM400.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Afendi, manakala Jamal diwakili peguam Mohd Nasir Yusof.

Katanya, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!