KUALA LUMPUR, 25 Mei – China bersedia untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan baharu bagi melonjakkan hubungan pragmatik Beijing-Kuala Lumpur yang bersandarkan semangat kepercayaan dan kesaksamaan untuk menghasilkan manfaat serta kejayaan bersama.
Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, China juga yakin hubungan antara kedua-dua negara akan turut melakar pencapaian baharu.
“Kita menghargai sokongan anda (Dr Mahathir) yang menyatakan sokongan terhadap Inisiatif ‘Belt and Road’ dan mengalu-alukan pelaburan China, sejurus selepas mengambil alih tugas pentadbiran negara.
“China sentiasa menganggap Malaysia sebagai rakan kerjasama penting bagi Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 dan bersedia mempromosikan Inisiatif ‘Belt and Road’ bersama-sama Malaysia, mencapai kesejahteraan bersama dan pembangunan dua negara serta membangunkan Masyarakat Asia Dengan Satu Tujuan Bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau sebelum itu menemui Dr Mahathir selama sejam bagi menyatakan ucapan tahniah terhadap pelantikan sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.
Menurutnya, era pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini juga turut merangkumi separuh daripada tempoh 44 tahun bermulanya hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.
“Selaku Perdana Menteri (tempoh sebelum ini), anda mengunjungi China sebanyak tujuh kali. Malah, sumbangan penting anda terhadap hubungan China-Malaysia telah meletakkan asas yang kukuh bagi hubungan akrab serta kerjasama antara kedua-dua yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata China sememangnya berperanan sebagai rakan akrab dan rakan pembangunan penting bagi Malaysia.
“Kerajaan baharu Malaysia akan mempertingkatkan kerjasama dengan China khususnya dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia juga menyambut baik pelaburan China dan menyasarkan untuk terus mengembangkan kerjasama pragmatik dari segi hubungan dua hala.