Home Politik Raja Perlis murka

Raja Perlis murka

by Nurulhuda

ARAU, 24 Mei – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada majlis istiadat dan angkat sumpah Menteri Besar Perlis, hari ini.

Baginda nyata kecewa kerana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka dua hari lalu.

“Ini adalah kepentingan sesetengah puak, segan untuk saya sebut nama tetapi tuan-tuan pun tahu siapa.

“Hari ini sebilangan besar mereka tidak hadir.. sebab apa (tidak hadir) saya pun tidak tahu, sedangkan jemputan dibuat dua hari lalu dan mereka masih berada di Perlis ketika itu.

“Sekarang mereka berada di Kuala Lumpur, semalam mereka pergi menaiki kapal terbang.. ini berdasarkan laporan yang saya terima,” titah baginda pada majlis istiadat dan angkat sumpah Menteri Besar di Istana Arau, di sini, pagi tadi.

Raja Perlis bertitah, sehingga malam tadi baginda masih memikirkan siapa bakal menjadi Menteri Besar susulan terdapat dua nama yang di fikiran baginda.

“Seorang (calon) yang menjadi Menteri Besar sebelum ini kerana saya (beta) mahu pembangunan yang ada dan dirancang dapat diteruskan demi kepentingan rakyat dan saya tidak mahu ia terhenti.

“Seorang lagi calon pula mempunyai hubung kait dengan Pengerusi Perhubungan UMNO (Perlis).. apabila saya berjumpa semua wakil rakyat BN, mereka ini lebih patuh (kepada kepimpinan UMNO) yang di negeri daripada (kepimpinan) yang di pusat.

“Ia seperti ada grip (pegangan) lain.. saya bimbang takut salah pilih Datuk Ismail Kassim… saya takut pilih Menteri Besar yang akan menjadi ‘puppet’ (boneka),” titah baginda.

Raja Perlis bertitah, baginda tidak mahu individu yang dilantik Menteri Besar kemudian dikawal pihak lain.

“Seperti tuan-tuan dengar tadi sumpah Menteri Besar, beliau tidak boleh beritahu dan berbincang selain daripada mereka yang berada di dalam kabinet… tidak boleh keluar rahsia langsung.

“Tetapi kalaulah adik jadi Menteri Besar tentu dia akan beritahu kepada abang. .. Saya tidak mahu.. saya berterus terang tidak mahu orang luar mengawal Menteri Besar.

“Kalau Shahidan (Datuk Seri Shahidan Kassim) nak patutnya dia bertanding di DUN tetapi dia bertanding di Parlimen.. ini yang jadi masalah… saya tidak mahu rahsia dalam diketahui luar,” titah baginda.

Baginda bertitah, pada mulanya baginda hanya menaruh syak wasangka, namun apa yang berlaku hari ini 100 peratus benar.

“Sembilan wakil rakyat BN tidak hadir kerana dikawal seseorang… tarik semua ke Kuala Lumpur dan tidak hadir majlis ini.

“Ini yang saya bimbang dari awal dan hari ini syak wasangka saya betul.. ini hanya perkara kecil, kalau dibiarkan… lebih daripada ini boleh berlaku.

“Silap pilih Menteri Besar, cuma satu kumpulan sahaja yang memperoleh faedah,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!