Home Politik Pembangkang pun boleh jadi datuk bandar – Zuraida

Pembangkang pun boleh jadi datuk bandar – Zuraida

by Pasri Asyraf

SHAH ALAM – Individu yang mendapat sokongan setempat berpeluang menjadi calon dalam pemilihan Datuk Bandar jika pilihan raya kerajaan tempatan diwujudkan semula.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara berkenaan secara asasnya menjadi kriteria utama pemilihan calon malah perbezaan ideologi politik tidak menjadi masalah dalam sistem demokrasi yang adil.

“Untuk pencalonan Datuk Bandar itu, calon mestilah dari kalangan individu tempatan, bukan macam pilihan raya negeri di mana orang luar boleh menjadi calon di mana-mana kawasan,” katanya kepada Sinar Harian.

Begitu pun, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, buat masa ini kemungkinan pilihan raya kerajaan tempatan diwujudkan masih di peringkat idea namun tidak menolak sistem berkenaan dikembalikan bagi kebaikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebenarnya perkara ini masih belum di peringkat cadangan, ia masih di peringkat idea yang mungkin akan dilaksanakan.

“Jadi dalam prinsip demokrasi, tak kisahlah sama ada ideologi politik yang berbeza sekali pun, jika seseorang itu dapat sokongan kita tak ada masalah,” katanya.

Terdahulu, bercakap kepada Astro Awani, beliau menjelaskan berdasarkan peringkat dalam kerajaan, PBT berada pada tangga ketiga.

“Pertama kerajaan, kedua negeri manakala ketiga PBT.

“Sudah tiba masanya kita mengamalkan demokrasi di peringkat PBT. Cuma saya nak tekankan sebab dulu mereka kata local government election (Pilihan raya Kerajaan Tempatan) tetapi di peringkat majlis. Saya nak cakap di peringkat ketuanya, Yang Dipertua ataupun Datuk Bandar,” katanya.

Beliau membayangkan, sekiranya Pilihan Raya Datuk Bandar direalisasikan ia akan menjadi perkara yang menarik.

“Saya percaya orang yang dipilih mempunyai semangat kekitaan yang kuat. Dari kawasan dia, sudah tentu dia nak kawasan dia cantik dan sebagainya. Saya rasa ia akan lebih berkesan,” tambahnya.

Justeru Zuraida berkata, bagi merealisasikan cadangan tersebut, beliau akan menyediakan kertas kerja dan dokumen berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas saya menyelesaikan perkara utama, saya akan tumpukan kepada cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar,” katanya.

Pilihan raya pihak berkuasa tempatan atau ‘pilihan raya kerajaan tempatan’ pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sebelum 1964.

Namun, sistem pilihan raya itu dimansuhkan bagi mempercepatkan proses pembangunan.

Pada 1 November 2006, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim pernah mencadangkan di Parlimen agar pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan semula.

Jika diluluskan, pilihan raya PBT hendaklah diadakan di seluruh Malaysia, sama ada secara serentak atau berperingkat.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!