Home Pertahanan dan Keselamatan Mat Sabu: Tak akan bertindak tanpa berbincang terlebih dahulu

Mat Sabu: Tak akan bertindak tanpa berbincang terlebih dahulu

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Haji Mohamad bin Sabu (Mat Sabu) hari ini menyatakan kesediaan beliau untuk menambah baik Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam sidang media selepas rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

“Apa kebaikan yang sudah berlaku, saya akan teruskan. Kalau ada kelemahan, kita perbaiki bersama,” kata Mat Sabu.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan itu turut menyatakan kesediaan beliau untuk berkerjasama dan berganding bahu dengan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan untuk mempertingkatkan dan menambah baik Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera.

Menurut beliau, beliau akan menghadiri sesi taklimat dan penerangan dari semua pihak; pentadbiran awam dan tentera sebelum merancang tindakan selanjutnya. Sesi taklimat dan penerangan tersebut akan memenuhi jadual minggu pertama beliau sebagai Menteri Pertahanan.

“Saya tidak mahu untuk mengadakan apa-apa yang baharu tanpa sebarang perbincangan,” kata Mat Sabu.

Ancaman Pengganas Perlu Ditangani

Ancaman pengganas sudah lazim di rantau ini terutamanya dengan melihat beberapa serangan pengganas yang telah berlaku di negara jiran.

Menyentuh ancaman pengganas dan fahaman ekstremisme, Mat Sabu berpendapat bahawa ancaman pengganas di dalam negara ini perlu ditangani dengan lebih baik.Beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu sidang media di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia.

Menurut beliau, ancaman pengganas adalah berbahaya dan boleh menyebabkan sesebuah negara jatuh ke kancah perang sebagaimana yang sedang berlaku di Timur Tengah.

“Ancaman ini kita perlu tangani dengan cermat, baik, strategik, dengan ilmu dan keupayaan,” katanya.

Beliau menyatakan, persenjataan bukanlah satu-satunya cara penyelesaian untuk menangani ancaman tersebut.
“Saya yakin, kita akan ambil isu ini sebagai satu serius dan diselesaikan secara sistematik,”

Menyentuh Pusat Keamanan Global King Salman (King Salman Centre for International Peace – KSCIP) yang telah dipersetujui pihak pentadbir sebelum ini, Mat Sabu menyatakan bahawa beliau akan membincangkan isu tersebut dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Siasat Skandal

Menjawab soalan wartawan mengenai tuntutan sebuah badan bukan kerajaan yang menuntut Mat Sabu untuk melakukan siasatan beberapa skandal, beliau menyatakan bahawa siasatan yang terperinci perlu dilakukan dan tidak mahu bertindak semata-mata berdasarkan khabar angin.

Mat Sabu melihat imej profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia perlu dijaga dengan baik dan rapi.

“Saya tak mahu hanya bersandarkan ‘hear say’ (khabar angin),” tegas Mat Sabu.

Beliau memberi amaran, tindakan yang diambil semata-mata bersandarkan khabar angin tanpa sebarang siasatan dan kajian menyeluruh akan merosakkan imej Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan.

“Kita tidak boleh bertindak semberono dengan apa yang kita dengar. Kalau ada berlaku penyelewengan, kita akan lakukan siasatan secara terperinci dan tindakan akan diambil berdasarkan bukti,” kata Mat Sabu.

“Jika serius, kita akan membawa isu ini ke kabinet,” tegasnya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!