PUTRAJAYA19 Mei – Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan siri jelajah ke negeri-negeri sebagai tanda penghargaan beliau di atas sokongan rakyat.
Beliau berkata, jelajah itu penting memandangkan rakyat telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau dan keluarganya selama ini.
Menurutnya, beliau juga berasa gembira dengan pengumuman senarai Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.
“Sekurang-kurangnya, separuh daripada kabinet Perdana Menteri sudah umumkan, kita harap mereka semua dapat melakukan tugas dengan baik dan apa yang saya boleh katakan mereka ada tugas yang sangat besar berbanding rejim sebelum ini.
“Mereka pastinya akan dipantau rapat oleh rakyat justeru, mereka memiliki tugas yang besar berbanding Kabinet sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau dan isteri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Singapura, Lee Hsien Loong di sebuah hotel di sini.
Ditanya perkembangan terkininya selepas mendapat pengampunan tanpa sebarang syarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Anwar berkata, beliau kini agak sibuk dengan pertemuan bersama pihak media.
“Semalam, adalah malam pertama saya dapat meluangkan masa bersama keluarga. Cucu saya mengadu mengatakan, Tok Papa, walaupun sudah dibebaskan, kami sukar untuk berjumpa kamu,” katanya.
Anwar, 71, dibebaskan serta-merta Rabu lalu setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.