KUALA LUMPUR, 18 Mei – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan nama sembilan lagi anggota Parlimen Pakatan Harapan yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan.
Menurut kenyataan perdana menteri hari ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi manakala Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Turut dilantik adalah Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, Ketua Wanita PKR Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) dan Naib Presiden DAP M. Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia).
Turut tersenarai adalah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), Pengarah Stretegi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Anggota Parlimen Titiwangsa Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar).
Pengumuman itu menjadikan barisan kabinet kini 14 orang susulan pengumuman sebelum ini yang menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan selain Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memberi perkenan kepada nama-nama yang dicadangkan Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah rahsia sebagai Menteri Persekutuan akan diadakan pada Isnin, 21 Mei 2018 pukul 11.30 pagi di Istana Negara.
Pelantikan itu adalah mengikut Perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, kata Dr Mahathir.
Terdahulu, Perdana Menteri telah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pukul 5 petang tadi untuk menyerahkan senarai tersebut.