PUTRAJAYA, 16 Mei – Tun Dr Mahathir hari ini mendedahkan bahawa terdapat banyak salah laku berlaku dalam skandal 1MDB. Beliau menyatakan perkara tersebut dalam sidang media hari ini di Putrajaya.
“Lebih banyak kesalahan yang dilakukan daripada pengetahuan umum,” kata Tun M.
Tambah beliau, tindakan susulan diambil termasuklah membuat laporan polis dan tangkapan terhadap individu-individu yang terlibat.
Beliau menegaskan, siasatan terhadap tahanan akan dilakukan secara munasabah dan tidak menyeksa pesalah.
Pada masa yang sama, Tun Mahathir turut menyatakan bahawa kerajaan Malaysia akan menghubungi kerajaan-kerajaan luar seperti Switzerland, Luxermbourg dan Amerika Syarikat untuk mendapatkan semula wang 1MDB yang disimpan di sana.
Walaupun jumlah keseluruhan wang yang ada di luar negara tidak diketahui, Tun M menyatakan wang yang berada di Amerika Syarikat adalah kira-kira USD$ 4.5 bilion.
“Kita menegaskan bahawa duit ini adalah duit Malaysia,” kata Tun Mahathir.
Beliau menambah, wang yang diambil semula akan digunakan untuk membayar hutang kerajaan yang perlu dilangsaikan.
Selain daripada itu, Tun Mahathir menegaskan siasatan akan dilakukan mengikut lunas undang-undang. Tindakan selanjutnya akan dilakukan berdasarkan bukti yang dikumpul dan mengikut prinsip “Rules of Law” (Lunas Undang-undang).
Menyentuh soalan media sama ada Dato’ Seri Najib dikenakan tahanan rumah, Tun Mahathir bertegas bahawa Dato’ Seri Najib tidak dibenarkan untuk keluar negara.