Home Semasa Salam Nakbah dari Mahfuz

Salam Nakbah dari Mahfuz

by Nurulhuda

ULASAN : Saya merasa pilu dan sedih apabila Perdana Menteri Israel, Netanyahu berjaya mengucapkan terima kasih kegembiraannya apabila kedutaan Amerika Syarikat berjaya dipindahkan secara rasminya dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis kelmarin.

Disaat umat Islam Palestin diratah dan dizalimi saban hari, Israel membuka lembaran baru apabila Amerika yang mendakwa mereka sebagai juara keadilan dunia telah menodai keputusan sejagat antarabangsa berkaitan kedudukan Baitul Maqdis yang sepatutnya bebas dari sebarang anasir politik Israel.

Saya berasa sangat pelik apabila Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) diam seribu Bahasa dan gagal memainkan peranannya dalam menyekat dan menghalang perpindahan dan pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitul Maqdis ini sedangkan mereka (OIC) dengan keahlian dan kekuatan ekonomi, ketenteraan dan politik ahli-ahlinya sewajarnya telah membuat apa jua tindakan samada amaran, sekatan ekonomi mahupun hubungan diplomatik ke atas Amerika dan sekutunya.

Kegagalan OIC bertindak dalam kepentingan umat Islam terutamanya dalam membela nasib umat Islam Palestin dan kepentingan umat Islam sekalian dalam isu Baitul Maqdis benar-benar memalukan badan antarabangsa itu.

Kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu dalam menangani isu juga sangat-sangat dikesali. Pelbagai keputusan dan perbincangan dalam isu Palestin yang diutarakan dan dihadamkan sebelum ini beserta pendirian tertentu dibawah panji PBB musnah diliwat begitu sahaja oleh Amerika dan Israel.

Saya berasa kagum diatas tindakan Kesatuan Eropah yang memboikot upacara perasmian kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis dengan wakil Misi EU di Israel menulis tweet Jumaat lalu, blok itu akan ‘menghormati persetujuan antarabangsa berkaitan Baitulmaqdis termasuk lokasi wakil diplomatik mereka sehingga status akhir Baitulmaqdis diselesaikan.’ Setidak-tidaknya mereka menzahirkan tindakan mereka.

Walaupun kedutaan ini hanya menumpang di pejabat konsulat mereka sementara mendapat lokasi tetap bagi pembinaan pejabat kedutaan yang sebenar, pembukaan secara rasmi kedutaan Amerika Syarikat ini dilihat sebagai satu usaha bersungguh Amerika untuk mencari populariti bagi Presidennya Trump dikalangan masyarakat Yahudi Zionis Amerika dan antarabangsa terutamanya bagi menampung kelemahan pengurusan ekonominya.

Bagi saya apabila Amerika berjaya membuka kedutaannya, diikuti Guatamala dan Paraguay yang akan mengekori Amerika memindahkan kedutaannya nanti merupa satu orde baru Zionis terhadap umat Islam

Oleh itu sempena hari Nakbah, penaklukan Israel ke 70 tahun terhadap bumi Palestin pada Jumaat ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya bagi turun dan menyatakan sokongan terhadap perjuangan umat Islam Palestin dan membantah tindakan Amerika yang melacurkan negara mereka untuk Isreal kerana kelemahan dan kegagalan Presiden mereka sendiri dalam mengurus tadbir negaranya. Nyatakan juga pendirian kita dalam terus menentang pendudukan Israel dibumi Palestin.

Ayuh bangun rakyat Malaysia khasnya dan umat islam amnya kita menentang pengistiharan ini dan Trump perlu menarik semula pengistiharan tersebut dan mendesak Israel keluar dari bumi Palestin.

DATUK MAHFUZ OMAR Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap anggota parlimen Pokok Sena.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!