KOTA BHARU, 12 Mei – UMNO Bahagian Pengkalan Chepa hari ini mengumumkan keluar daripada parti berkenaan serta-merta.
Ketua Puteri UMNO Bahagian itu, Zarina Md Eusope berkata, beliau dan kira-kira 30 ahlinya perlu memikirkan mengenai hala tuju Barisan Nasional (BN) yang bukan lagi memerintah negara.
“Saya telah buat keputusan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Orang ramai perlu rasional kerana ini bukan satu tindakan keterlaluan dan saya juga berfikir panjang bersama penyokong yang ada bersama hari ini.
“Saya berterima kasih kepada kepemimpinan kerajaan terdahulu kerana telah memimpin negara dengan baik cuma Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak berpihak pada Barisan Nasional (BN),” jelasnya ketika membuat pengumuman itu di sini hari ini.
Menurutnya, ahli PPBM juga sebenarnya merupakan golongan yang setia pada parti lama.
“Kita semua kena faham kerajaan yang memerintah pada hari ini adalah Pakatan Harapan dan pendukungnya adalah bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Jadi saya mesti bersama dengan kerajaan yang sedia ada sekarang,” ujarnya.