Home Politik Datuk Seri Shafie Apdal akan mengadap Yang di-Pertua Negeri Sabah

Datuk Seri Shafie Apdal akan mengadap Yang di-Pertua Negeri Sabah

by Noor Sheila Amin

Kota Kinabalu, 11 Mei – Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan lima anggota dewan undangan negeri (ADUN) dari BN sedang cuba mendapatkan kebenaran mengadap Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin hari ini.

Langkah itu dibuat bagi memaklumkan Juhar mengenai keputusan mereka menukar sokongan kepada WARISAN.

Perkembangan itu disahkan kepada Malaysiakini oleh seorang sumber yang dekat dengan Mohd Shafie.

Katanya, lima wakil rakyat BN itu membabitkan dua anggota Umno dan tiga dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Murut Bersatu (Upko).

Dengan perkembangan terbaru itu, mandat yang ada pada Tan Sri Musa Aman sebagai ketua menteri Sabah dipercayai semakin hampir ke penghujungnya.

Musa baru saja mengangkat sumpah jawatan pada malam tadi.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan dua ADUN BN, Abdul Muis Picho (Sebatik) dan Hamisah Samad (Tanjong Batu) mengadakan pertemuan tertutup dengan Mohd Shafie.

Enggan mengesahkan sama ada dua ADUN itu sudah keluar dari BN, Ketua Pemuda WARISAN Datuk Mohd Azis Jamman bagaimanapun mendakwa, beberapa anggota dewan sudah berada di Istana Negeri yang menempatkan pejabat Juhar.

“Tunggu pengumuman mengenainya dibuat tetapi kami (WARISAN) sudah ada (wakil) lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri yang ada sekarang adalah kerajaan yang palsu,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!