KUALA LUMPUR, 9 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyangkal laporan kononnya aset tentera dikerah ke Putrajaya seperti yang ditularkan di media sosial.
Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata perkara itu tidak benar dan hanya merupakan spekulasi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya sendiri berada di Putrajaya dan aset ATM seperti kereta kebal dan kenderaan tentera yang lain tiada di Putrajaya.
“Apa yang tersebar di media sosial itu hanyalah laporan berita palsu semata-mata ingin menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya kepada Bernama malam ini.
Raja Mohamed Affandi menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai laporan berita palsu sedemikian dan menyemak kesahihan berita yang tersebar di media sosial.