KUALA LUMPUR, 9 Mei – Serangan siber berbentuk gangguan komunikasi telah dikesan hari ini, ketika Pilihan Raya Umum ke-14 sedang berjalan. Ahli politik dan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan turut menerima tempias daripada serangan tersebut.
Serangan tersebut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun hari ini.
“Beberapa pemimpin tertinggi kerajaan termasuk Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Negara, menerima panggilan misteri dari luar negara sejak malam tadi”.
Dalam kenyataan media Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi menyifatkan serangan sebegini dilihat sebagai satu usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mewujudkan ketidaktenteraman dengan niat untuk menjejaskan kelicinan proses pilihan raya.
Pihak PDRM akan berkerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat kejadian ini.
Sementara itu, SKMM turut mengesahkan pihak mereka menerima aduan pelbagai pihak mengenai gangguan panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali. Perkara tersebut telah disahkan melaui Siaran Media yang dikeluarkan hari ini.
Menurut SKMM, pihak mereka telah menjalankan siasatan dan mendapati serangan tersebut dilakukan dengan menggunakan BOTS. Serangan tersebut mensasarkan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang dan parti.
SKMM turut menasihatkan semua pihak untuk tidak menjawab panggilan tersebut.
SKMM memberi amaran bahawa serangan sedemikian boleh menyebabkan gangguan pada sistem telekomunikasi disamping berkemungkinan menjadi mangsa eksploitasi.
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak telah mengutuk taktik “Panggilan Spam” yang jelas menganggu beberapa orang pemimpin BN. Beliau turut mengarahkan tindakan segera diambil.
Pada masa yang sama, Najib turut mendedahkan beberapa laman web yang dikendalikan oleh pihak Barisan Nasional gagal diakses.
Difahamkan juga, serangan lain turut berlaku di alam maya apabila beberapa laman web yang dimiliki oleh beberapa parti politik telah menerima serangan DDOS.
Laman web milik DAP, Roketkini gagal diakses dan paparan amaran yang menyatakan laman tersebut mengalami serangan pengodam. Begitu juga laman web Invoke.
Selain daripada laman web kendalian parti, laman-laman web agensi kerajaan turut mengalami serangan yang sama. Laman web Kementerian Dalam Negeri, SPRM dan Imigresen adalah antara yang terjejas.
Sebelum ini, pihak Air Times telah mengeluarkan laporan bahawa terdapat satu pihak yang mengugut untuk melancarkan serangan siber dalam masa terdekat. Individu bernama Daeng La Galigo yang mendakwa dirinya Bugis Cyberarmy telah bersiap sedia untuk melancarkan serangan siber.
Kenyataan ugutan beliau telah dimuatnaik pada satu akaun Facebook.