Home Politik Pengundi keluar serentak punca sesak – Tan Sri Hashim

Pengundi keluar serentak punca sesak – Tan Sri Hashim

by Nurulhuda

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan isu pengundi terpaksa beratur panjang di pusat pengundian hari ini berlaku akibat mereka keluar serentak dalam satu masa.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata situasi itu juga dipercayai berlaku berikutan pengundi terpengaruh dengan mesej tular sebelum ini yang menggesa pengundi keluar awal supaya tidak ada orang lain mengundi menggunakan nama mereka.

Katanya, SPR juga sebelum ini sudah memaklumkan supaya pengundi merancang dan keluar mengundi secara berperingkat supaya tidak berlaku kesesakan dan terpaksa beratur panjang.

“Difahamkan, ada kes pengundi meninggal dunia namun ia adalah kejadian di luar jangka dan SPR sudah mengambil tindakan sewajarnya.

“Bagi pihak SPR, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa serta meminta SPR negeri untuk mengambil langkah sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, SPR tidak akan melanjutkan waktu mengundi dan pusat mengundi akan tetap ditutup pada jam 5 petang hari ini.

Beliau turut menjelaskan SPR sudah membuat semakan berkaitan isu tular kertas undi tidak dicop yang didakwa berlaku di sebuah Pusat Mengundi dan hasil semakan ia tidak berlaku seperti mana ditularkan.

“Namun, SPR menjelaskan bahawa jika berlaku kesilapan itu, ia adalah kes terpencil dan pengundi diminta tidak bimbang kerana sekiranya Ketua Tempat Mengundi berpuas hati bahawa kertas undi dikeluarkan secara sah dan ia hanya kesilapan petugas dalam salurannya, maka Ketua Tempat Pengundi berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi dalam keadaan ia telah dikeluarkan secara sah

“Pengundi diminta agar tidak terpedaya dengan mesej tular yang kononnya SPR melakukan penipuan dengan cara demikian kerana proses ini turut disaksikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk ejen calon.

“SPR percaya mesej tular itu cuba menimbulkan situasi panik dan curiga di kalangan pengundi terhadap SPR,” katanya.

Berhubung isu undi pos tidak sampai katanya, SPR sudah menerima aduan mengenai perkara itu dan akan menyiasat masalah atau punca berlakunya kelewatan penghantaran yang menyebabkan pengundi tidak menerima kertas undi mereka atau lewat diterima,” katanya.

Selain itu, Mohd Hashim berkata mesej tular mengenai seorang remaja ditahan kerana didakwa membawa kertas undi palsu di sebuah pusat mengundi di Port Dickson, Negeri Sembilan katanya pihak yang menahan remaja itu sepatutnya membuat laporan polis bukan tularkan media sosial.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!