SEREMBAN, 8 Mei – Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memperlekehkan Barisan Nasional (BN) kerana menampillkan penceramah sebagai calon di negeri ini.
Menurut beliau, pilihan raya umum adalah proses penting bagi rakyat memilih pemimpin yang layak dan bukannya mereka yang hanya pandai berceramah.
“Jangan pilih sebab dia kawan kita, atau dengar dia beri tazkirah atau kerana dia pak lebai. Kita bukan nak pilih penceramah sebaliknya kita nak pilih pemimpin,” katanya dalam ceramah gabungan pembangkang PKR di Taman Paroi Jaya, di sini malam tadi.
Walaupun tidak menamakan individu yang dimaksudkan, Azmin dipercayai merujuk kepada penceramah popular, Syamsul Amri Ismail yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan Datuk Abu Ubaidah Redza (Ampangan) yang terkenal dengan imej berkopiah.
Dalam ceramah tersebut, Azmin turut menjadikan Pas sebagai sasaran kerana menyebabkan persaingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut Menteri Besar Selangor itu hanya ada dua parti yang serius bertanding kali ini iaitu BN dan PKR.
Katanya, tidak ada gunanya pengundi memilih Pas kerana parti berkenaan tidak mungkin menang dan membentuk kerajaan Pusat.
“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa saya bertanding ada lima penjuru. Ada logo dacing, mata, bulan dan gajah.
“Parti dia (Pas) tak boleh bentuk kerajaan, rugikan undi kita saja. Dengan kita dia tak mahu berkawan tetapi dengan (Datuk Seri) Najib Tun Razak, dia berdakap,” katanya.