KUALA LUMPUR, 8 Mei – Menjelang saat saat akhir kempen PRU14 dan hari pengundian esok, bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat mendokong usaha Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menumbangkan BN.
Anwar berkata, banyak persoalan yang perlu dijelaskan kerana berulang kali diungkit oleh pimpinan Umno-BN dan lain-lain serta paling mereka khuatiri adalah gandingan beliau bersama Mahathir.
Justeru Anwar meminta rakyat memberikan dorongan serta menyokong Mahathir dalam usaha menumbangkan kerajaan Umno-BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Mahathir membuktikan dengan kegigihan berjuang; menerima keterbatasan lalu; memohon maaf dan mengorbankan masa dan tenaga untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat dan negara. Beliau bersabar menerima penghinaan Umno-BN sambil menumpukan perhatian memperkukuh jentera Pakatan Harapan (Harapan), ” katanya dipetik menerusi Facebook Anwar Ibrahim.
Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh menambah, kempen Umno-BN tertumpu kepada usaha menakutkan rakyat terutama masyarakat Melayu kononnya akan diperalatkan DAP.
“Rakyat adalah penentu; bukan wang sogokan tauke atau saudagar kaya; bukan fitnah dan propaganda media yang dikuasai Umno-BN.
“Pakatan Harapan mendambakan perubahan; kepedulian rakyat dan pengukuhan institusi negara selaras dengan semangat perlembagaan negara. Kami bertekad untuk bekerja menggalas tugas dengan penuh amanah dan kesedaran.
“Dalam tempoh 24 jam, masa depan negara dan nasib rakyat akan di tentukan oleh saudara saudari.
“Dengan lafaz Bismillah, undilah dengan bijak dan bertanggungjawab,” kata Anwar lagi.