BEIJING, 8 Mei – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sekali lagi mengadakan kunjungan ke China dan bertemu Presiden Xi Jinping menjelang persidangan bersejarah Jong-un bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Kedua-dua pemimpin dilaporkan berbincang mengenai isu dua hala, di mana Jinping menyatakan sokongan terhadap persidangan antara Korea Utara dan AS dan turut memuji usaha pemimpin Korea Utara itu dalam menjayakan kempen nyahnuklear di Semenanjung Korea.
Ia merupakan pertemuan kedua selepas lawatan pertama Jong-un ke Beijing pada bulan Mac, yang juga kunjungan pertamanya ke luar negara sejak memegang tampuk pemerintahan enam tahun lalu.
Media China mengatakan Jong-un hadir ke China bagi melaporkan situasi terkini dengan harapan dapat membangunkan komunikasi strategik dan hubungan dengan Beijing disamping mempromosi keamanan dan kestabilan serantau.
Akhbar Xinhua melaporkan Jinping turut menganjurkan jamuan bagi menyambut kedatangan Jong-un dan kedua pemimpin kemudian dilihat bersiar-siar di sepanjang pantai berhampiran rumah tamu kerajaan di bandar Dalian.
Sementara itu, Trump berkata menerusi tweet bahawa beliau akan bercakap dengan Jinping berkenaan isu Korea Utara dan hubungan dan kepercayaan yang semakin kukuh. – Dailymail