ISLAMABAD – PAKISTAN, 8 Mei – Menteri Dalam Negeri Pakistan, Ahsan Iqbal terselamat dalam cubaan bunuh ke atasnya dalam satu kejadian yang mungkin akan meningkatkan ketegangan politik menjelang Pilihan Raya Umum pada akhir Julai depan.
Pembantu khas beliau, Asim Khan memberitahu, serangan itu berlaku di daerah Narowal di wilayah Punjab, semalam.
“Penyerang sememangnya menyasarkan Iqbal dan tembakan itu mengenai bahu kirinya. Beliau yang cedera dibawa ke hospital daerah di Lahore dan suspek turut diberkas,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap pihak berkuasa berkata, Iqbal mahu memasuki kenderaannya apabila seorang ‘lelaki muda’ melepaskan tembakan beberapa kali.
Iqbal, 59, merupakan pemimpin kanan parti pemerintah, parti Liga Muslim Pakistan-N (PML-N) dan pembantu rapat bekas perdana menteri, Nawaz Sharif.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Shahid Khaqan Abbasi turut mengutuk serangan itu, sekali gus mencetuskan persoalan tentang situasi keselamatan di seluruh negara yang sedang melakukan persiapan untuk menghadapi pilihan raya pada musim panas depan. – Press TV