PORT DICKSON, 4 Mei – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pelbagai agenda disusun oleh kerajaan untuk memperkasakan warga tentera hanya akan dapat diteruskan sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Beliau berkata warga tentera yang akan menunaikan pengundian awal esok haruslah memikirkan sedalam-dalamnya demi memastikan pasukan keselamatan negara terus mendapat pembelaan sewajarnya.
Katanya, isu kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan isu sedemikian hanya muncul lima tahun sekali oleh pembangkang yang kononnya turut memperjuangkan nasib mereka.
“Saya telah ingatkan kepada mereka (warga ATM) apa jua keputusan yang diambil esok, fikir sedalamnya apa agenda yang telahpun kita (kerajaan) ketengahkan kepada anggota, keluarga masing-masing seperti agenda pendidikan, perubatan, perumahan dan membela veteran termasuk juga hala tuju kita memastikan kesiapsiagaan keselamatan dan pertahanan negara kita.
“Kalau mandat yang besar tak dapat dikecapi, saya tengok mungkin lima tahun akan datang kita tak ada kerja lain, (asyik) berpolitik sahaja… terpaksa menangkis tuduhan-tuduhan yang tak berasas … bila nak buat kerja. Sebab itu mandat ini penting supaya kita (kerajaan BN) dapat buat kerja dan calon-calon kita (BN) diberikan tempat untuk wakili rakyat untuk merealisasikan agenda,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Perkasa Perwira di Kem Segenting di sini yang turut dihadiri Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen Datuk Wira Md Tajri Alwi.
Turut hadir calon BN bagi kerusi Parlimen Port Dickson Datuk V.S. Mogan, Yeong Kun You bagi kawasan Dewan Undangan Undangan (DUN) Lukut; Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (DUN Bagan Pinang); Datuk Abdul Rahman Mohd Redza ((DUN Linggi) dan R. Thinalan (DUN Sri Tanjung).
Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata BN terbukti berjaya menjalankan tugas dan amanah dengan sebaik mungkin meskipun berdepan dengan tohmahan politik pembangkang yang bertujuan mengganggu fokus parti itu daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Mengulas PRU14, Hishammuddin yang juga naib pengerusi BN mengingatkan pengundi untuk membuat pilihan secara rasional dengan memberikan contoh pertukaran kerajaan di beberapa negara luar akibat sentimen kebencian yang ditanamkan pihak tertentu yang akhirnya memusnahkan negara itu sendiri.
“Cuba kita tengok negara-negara di luar sana apabila diuji (mereka) gagal… sebab itu pentingnya kali ini apabila kita diuji (dalam PRU14) kita lulus dalam ujian ini…banyak negara-negara lain yang apabila diuji gagal kerana ditanam dengan sentimen kebencian,” katanya.
Terdahulu, Hishammuddin turut meluangkan masa menziarahi pusara pejuang Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kampung Baru Si Rusa, dekat sini.