Home Pertahanan dan Keselamatan 2 lelaki ditahan, 13 RAMD pertingkat keselamatan di sempadan

2 lelaki ditahan, 13 RAMD pertingkat keselamatan di sempadan

by Nurulhuda

BAU, 3 Mei – Anggota Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berjaya menahan dua lelaki ketika cuba menyeludup masuk motosikal curi menerusi ‘jalan tikus’ di Kampung Serikin, di Bau, pagi semalam.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, suspek berusia 23 dan 24 tahun diberkas oleh anggota 13 RAMD yang menjalankan Ops Serkap.

Jurucakap Markas 1 Divisyen Infantri berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota melakukan pemantauan sebelum mengesan dua suspek yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek yang terkejut dengan kehadiran tidak sempat meloloskan diri kerana anggota kita sudah mengepung kawasan berkenaan.

“Mereka ditahan bersama-sama motosikal Yamaha Lagenda dan Yamaha 125Z.

“Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan kenderaan itu termasuk cukai jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek membawa beberapa peralatan curi motosikal.

“Pasukan serbuan kemudiannya membawa suspek bersama motosikal yang dirampas ke Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal dianggarkan bernilai RM17,000 itu dipercayai dicuri di kawasan Serikin sebelum cuba diseludup masuk ke negara jiran.

“Suspek juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri termasuk pasport untuk masuk ke negara ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pasukan 13RAMD sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengekang jenayah rentas sempadan terutamanya membabitkan penyeludupan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!