Home Politik Pertandingan Tiga Penjuru Di Parlimen Permatang Pauh

Pertandingan Tiga Penjuru Di Parlimen Permatang Pauh

by Nurulhuda

BUKIT MERTAJAM,  28 Apr –  Pilihan Raya Umum ke-14 di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 9 Mei ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS.

Calon BN Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, 49, akan berdepan calon PKR Nurul Izzah Anwar, 38, yang merupakan Naib Presiden PKR dan calon PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, 37, (Ketua Pemuda Dewan PAS Pulau Pinang).

Mohd Zaidi tiba di pusat penamaan calon pada 8.40 pagi diiringi kira-kira 800 penyokong.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Ali Sebran untuk P044 Permatang Pauh mengumumkan calon yang bertanding untuk Parlimen Permatang Pauh, DUN Seberang Jaya, DUN Permatang Pasir dan DUN Penanti di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di sini hari ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang disahkan bertanding dan tahniah juga kepada semua penyokong yang mematuhi arahan pihak berkuasa serta tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini sepanjang proses penamaan calon berlangsung,” katanya semasa mengumumkan senarai calon pada 11.45 pagi.

Beliau berkata calon PAS bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh Afnan Hamimi paling awal menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pada 9.06 pagi.

Bagi DUN Seberang Jaya, penyandang kerusi itu Dr Afif Bahardin (PKR), 32, berhadapan calon BN Ketua Pemuda UMNO Permatang Pauh, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin, 42, manakala calon PAS diwakili Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ahmad Rafaei Rashid, 40.

Di DUN Permatang Pasir calon BN Annuar Faisal Yahaya, 40, bakal berdepan dengan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohammad Fauzi Yusoff , 47, dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Muhammad Faiz Fadzil, 41, (PKR-Amanah) manakala di DUN Penanti penyandangnya Dr Norlela Ariffin, 55, daripada PKR bakal dicabar Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin, 47, (BN) dan Fawwaz Mohamad Jan, 35, (PAS).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!