Kota kinabalu, 28 April – Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 17 Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU14).
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, calon yang diberi tanggungjawab mengalas cabaran itu membabitkan pelbagai peringkat wakil daripada parti seperti Wira, Wirawati, Wanita serta kepimpinan peringkat bahagian.
“Kali ini kita mencalonkan hampir sembilan calon Wanita termasuk Wirawati jumlah ini cukup besar penyertaan Wanita pada PRU14, kita inginkan Wanita dan golongan muda memainkan peranan.
“Selain itu, calon-calon kita turut melibatkan golongan profesional seperti bekas pensyarah dan bekas Timbalan Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Aidi Mokhtar (DUN Pantai Manis).
“Ini adalah perkara baharu untuk Sabah yang mana ramai calon mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (phD) dan peguam,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengumuman Calon Warisan, semalam.
Antara yang turut dicalonkan Warisan pada PRU 14 adalah bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Bongawan, Datuk Karim Bujang untuk kerusi Parlimen Kimanis, bekas Ahli Parlimen Sipitang, Yusof @ Josree Yacob untuk kerusi DUN Sindumin dan bekas Presiden LDP Datuk V.K Liew untuk kerusi Parlimen Batu Sapi.
Sementara itu, penyandang DUN Moyog, Terrence Siambun, tidak dicalonkan semula dan digantikan oleh calon PKR Jennifer Lasimbang.
Sebelum itu dalam ucapannya, beliau menjelaskan manifesto Aku Janji Parti Warisan Sabah mempunyai 13 teras utama dan dibahagikan kepada empat bahagian.
Katanya, pertama, hak-hak rakyat dan enakmen kerajaan negeri perlu dikekalkan, dipertahankan dan diperkukuhkan.
Kedua katanya, komponen untuk memperbaiki kepincangan-kepincangan kerajaan sekarang yang perlu diatasi, diperbaiki serta ditambah nilai.
“Ketiga, komponen rancangan pembangunan rakyat untuk mengatasi kerumitan hidup yang dihadapi rakyat Sabah.
“Keempat, komponen mengatasi ketidakcekapan urus tadbir perkhidmatan Sabah sebagai garisan hadapan kerajaan beri perkhidmatan kepada rakyat,”katanya.
Beliau yang turut bertanding di Parlimen Semporna dan DUN Senallang berkata, manifesto Warisan adalah tawaran parti itu untuk membela rakyat dari pelbagai bidang yang dikenal pasti serta dikaji selidik.