JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri melancarkan Skim Perlindungan Takaful Rakyat Johor demi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya asnaf dan golongan berpendapatan rendah yang ditimpa musibah.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, skim bertujuan memastikan golongan asnaf dan penerima bantuan am dapat dibantu pada kadar segera.
Katanya, skim bukan sekadar memberi bantuan tahunan atau bulanan malah turut membantu menyalurkan sokongan babit perubatan dan rawatan.
“Sekiranya berlaku musibah, ditimpa sakit atau berlakunya kematian, golongan asnaf dan yang berpendapatan rendah di Johor akan dapat kita bantu dengan lebih berkesan, baik dan bermakna.
“Ini kerana skim berkenaan meliputi pembiayaan rawatan bagi penyakit kritikal yang dihadapi oleh golongan berkenaan termasuk jika berlaku sebarang kemalangan, kos rawatan pesakit yang menuntut pembiayaan yang tinggi atau pampasan kepada penerima bagi membiayai kos kehidupan atau pendidikan anak-anak,” katanya selepas majlis pelancaran Skim berkenaan, di sini, semalam.
Menurutnya, dengan caruman RM10 sebulan atau RM120 setahun, sejumlah RM1.9 juta setahun diperuntukkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) untuk golongan asnaf.
Jelasnya, skim secara asasnya melibatkan 10,000 penerima mulai tahun ini.
“Mereka adalah golongan kurang bernasib baik yang kini di bawah kelolaan Mainj.
“5,724 lagi adalah penerima bantuan am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) juga bersedia memberikan kemudahan rawatan di bawah skim perlindungan ini kepada asnaf dan penerimab antuan am JKM yang disahkan layak oleh pihak takaful.
“Mereka akan dapat menjalani rawatan di KPJ dengan perbelanjaan tidak melebihi RM20,000.
“Namun, memandangkan pemegang polisi adalah Mainj dan JKM, maka sebarang bentuk bayaran akan hanya dibayar kepada Mainj dan JKM mengikut ketetapan yang dipersetujukan,” katanya.