Home SemasaGlobal Pendatang diserang Kumpulan nasionalis Greece

Pendatang diserang Kumpulan nasionalis Greece

by Noor Sheila Amin

Mytilene, Greece, 24 April – Sebuah kumpulan haluan kanan melancarkan serangan ganas malam semalam ke atas pendatang yang melancarkan bantahan di pulau Lesbos, Greece, menyebabkan 12 orang cedera, kata polis.

Keganasan itu meletus lewat semalam selepas anggota radikal ‘Pergerakan Patriotik’ berkumpul di dataran di bandar utama di sini, di mana kira-kira 200 pemohon suaka dari Afghanistan melancarkan bantahan duduk minggu lalu terhadap keadaan daif hidup mereka.

Walaupun dengan kehadiran polis, situasi itu terus memuncak ketika pelampau mula membaling botol dan menyalakan suar, melaungkan slogan seperti ‘Bakar mereka hidup-hidup’ dan ‘Campak mereka ke laut.’

Pendatang bergandingan tangan dan memegang selimut untuk melindungi keluarga mereka dari serangan polis rusuhan di bandar Mytilene di pulau Lesbos. – Foto AFP

Ketegangan memuncak apabila aktivis sayap kiri tiba untuk menyokong pendatang dan mula bergaduh dengan penyokong nasionalis.

Pertembungan itu berlangsung sepanjang malam sehingga pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan bantahan dan mengosongkan dataran, memaksa pendatang Afghanistan itu kembali ke kem penuh sesak pulau itu.

Polis berkata, 12 pendatang cedera ringan dan dibawa ke hospital. Lebih 6,500 pendatang kini terkandas di Lesbos, dua kali ganda melebihi 3,000 tempat dalam kem itu.

Lebih 13,000 pendatang masih tinggal dalam kem di lima kepulauan Greece sehingga tuntutan suaka diproses.

Greece, negara memiliki 11 juta penduduk, merekodkan 58,661 permohonan tahun lalu, menjadikannya negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah tertinggi pemohon suaka per kapita, menurut data rasmi. -AFP

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!