KUALA LUMPUR, 22 Apr – Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan hari ini telah melancarkan Manifesto BN dan pengumuman calon BN bagi Wilayah Persekutuan di PWTC.
Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique kembali bertanding Parlimen Setiawangsa menggantikan Datuk Ahmad Fauzi Zahari.
Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari mengucapkan terima kasih kepada rakyat Setiawangsa yang telah menyokong beliau sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat Setiawangsa.
“Parti telah membawa keputusan untuk mencalonkan Tan Sri Zulhasnan, saya berharap rakyat Parlimen Setiawangsa dapat memberi kerjasama dan menyokong beliau, seperti mana sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada saya selama ini”, katanya.
Ahmad Fauzi juga berharap pengundi membuat keputusan yang penuh bijaksana, memikir semasak-masaknya kerana memilih untuk menukarkan kerajaan bukan sesuatu yang mudah, ia mesti diteliti secara keseluruhannya.
“Perlu mengambil kira jasa-jasa kerajaan sebelum ini dan bukan membuat keputusan kepada satu-satu perkara, ia perlu diambil kira dengan keseluruhan kerja-kerja yang baik telah dijalankan oleh kerajaan untuk memutuskan siapa yang harus dipilih”, ujar beliau.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas Ahmad Fauzi telah memenangi Parlimen Setiawangsa sebanyak 26,809 undi mengalahkan Ibrahim Yaacob dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 1,390.
Pada masa sama, Pengerusi BN Wilayah Persekutan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan kepada kehendak akar umbi pengundi di Setiawangsa sendiri.
“Dua-dua calon dilihat boleh menang tetapi Zulhasnan dilihat lebih besar potensi untuk menang”, katanya pada sidang media selepas pelancaran Manifesto BN Wilayah Persekutuan dan pengumuman Calon BN Wilayah Persekutuan.
Kerusi Setiawangsa menjadi tumpuan selepas ia menjadi satu-satunya kerusi yang penyandangnya tidak dikekalkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).