WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengalu-alukan keputusan Presiden Korea Utara, Kim Jong Un untuk menghentikan semua ujian nuklear dan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) serta menutup tapak ujian atom milik mereka.
Menurut beliau, keputusan dibuat Jong Un itu adalah khabar baik untuk dunia dan dilihat sebagai satu perkembangan yang amat penting.
“Ini adalah berita yang sangat baik untuk Korea Utara dan dunia! Perkembangan besar! Tak sabar untuk menghadiri sidang kemuncak kami,” katanya menerusi Twitter.
Kenyataan Trump itu dibuat susulan pengumuman Jong Un, seperti yang dilaporkan media rasmi Korea Utara.
Difahamkan bahawa ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah mengadakan pertemuan bersama Jong Un bagi membangkitkan beberapa kemungkinan berhubung sidang kemuncak kedua-dua pemimpin terbabit yang dijangka diadakan akhir Mei atau awal Jun nanti.