TAWAU, 21 Apr – USNS Brunswick, kapal Pengangkut Pantas Ekspedisi (EPF) Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), membuat persinggahan sulungnya di Tawau hari ini sebagai sebahagian daripada platform dalam misi sekunder Kerjasama Pasifik 2018 (PP18).
Timbalan Komandan Misi PP18 Kapt Peter Olive Obe berkata 140 anak kapal EPF akan melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan kejuruteraan awam, perubatan dan penerangan dengan masyarakat tempatan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang kunjungan 13 hari kapal itu ke sini, yang berakhir pada 3 Mei.
“Terima kasih kepada orang Tawau atas sambutan yang diberi kepada kami dan kami tidak sabar menunggu masa yang akan kami gunakan di sini.
“Rakan kami dari Malaysia menawarkan banyak peluang untuk meningkatkan kemampuan bersama kami dalam bidang perubatan, kejuruteraan awam dan kesiapsiagaan dalam memberi bantuan semasa berlaku bencana,” katanya kepada pemberita selepas ketibaan kapal itu di terminal Tawau di sini.
Brunswick adalah salah satu daripada tiga kapal pengangkutan cepat ekspedisi di kawasan Armada AS yang bertanggungjawab untuk meneruskan misinya menyediakan pengangkutan tentera dan peralatan ketenteraan.