KUALA LUMPUR, 19 Apr – Hari terakhir DSA 2018 menyaksikan kontrak perolehan meriam 105LG1 Nexter telah ditandatangani. Perolehan 18 laras meriam ini adalah untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia. Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan media bersama oleh NEXTER dan ADS Sdn Bhd.
6 laras meriam pertama akan mula diterima oleh Tentera Darat mulai November tahun hadapan dan kesemua meriam akan diterima sepenuhnya pada Februari 2020. Meriam ini dijangka akan dioperasikan oleh pasukan 10 Briged Para.
Syarikat tempatan, ADS Sdn. Bhd. akan melakukan kerja-kerja pemasangan di Gemas, Negeri Sembilan. Usaha ini sekaligus mempertingkatkan daya usaha syarikat tempatan untuk maju setapak ke hadapan dalam industri pertahanan.
Meriam 105LG1 merupakan meriam 105mm keluaran Nexter dan direka untuk pasukan tindak cepat. Mempunyai jarak penembakan maksimum sejauh 17 kilometer, meriam ini boleh dibawa dengan kenderaan penunda, helikopter atau digugurkan dengan payung terjun dari pesawat pengangkut.
Mempunyai berat kira-kira 1,650 kilogram, meriam ini direka untuk beroperasi dipelbagai kawasan termasuklah kawasan hutan dan pergunungan.
105LG1 ini digunakan oleh pelbagai negara termasuklah Singapura, Thailand, Indonesia, Kanada dan Colombia.