Home Pertahanan dan Keselamatan Patriot mempersoalkan pemilik hospital veteran tentera

Patriot mempersoalkan pemilik hospital veteran tentera

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 15 Apr – Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT),  Brig Jen (B) Mohamed Arshad Rajhi  mempersoalkan cadangan membina hospital untuk veteran tentera di Kem Gua Permai, Ipoh.

Mohamed Arshad Rajhi berkata ini kerana terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa projek yang menelan kos RM500 juta itu akan dibangunkan melalui pertukaran tanah (land swap).

Hal itu, tambahnya, akan menyebabkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan saja kehilangan Kem Gua Permai tapi juga tidak mempunyai hak pemilikan ke atas hospital tersebut.

“PATRIOT mengambil pandangan yang serius terhadap khabar angin yang menyelubungi isu hospital veteran ini, dan menuntut jawapan dari menteri pertahanan sementara (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) dan Kementerian Pertahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara persoalan yang dibangkitkan PATRIOT adalah sama ada khabar angin projek itu akan dibangunkan melalui pertukaran tanah benar.

“Jika benar, adakah ini bermakna bahawa 28,500 meter persegi tanah di Kem Gua Permai di mana hospital itu akan dibangunkan, tidak lagi dimiliki oleh ATM?” soalnya.

PATRIOT juga mempersoalkan sama ada Kementerian Pertahanan tidak akan menanggung kos pembinaan projek itu dan sebaliknya ditanggung oleh syarikat yang akan memiliki hospital setelah siap dibina.

“Sekiranya benar bahawa hak pemilikan hospital itu bukan milik ATM, tetapi dimiliki oleh syarikat yang membinanya, bagaimanakah hospital itu boleh ditakrifkan sebagai hospital veteran tentera?

“Adakah benar bahawa hospital itu akan diubah menjadi sebuah hospital milik swasta di mana sebahagian hospital dikhaskan untuk veteran angkatan tentera?

“Sekiranya ini benar, siapakah yang akan mengurus dan mentadbir bahagian yang disediakan untuk veteran ATM?

“Adakah benar bahawa hospital ini tidak akan menanggung atau memberi subsidi terhadap kos rawatan perubatan untuk veteran?” katanya.

PATRIOT juga menjelaskan bahawa Kem Gua Permai ketika ini adalah penempatan batalion Rejimen Askar Melayu Diraja mempersoalkan sama ada batalion itu akan dipindahkan ke kem yang baru dibina atau ke kem sementara.

“Menteri Pertahanan dan Angkatan Tentera seharusnya menyedari bahawa terdapat suara-suara ketidakpuasan yang menyebar di kalangan anggota tentera dan keluarga mereka yang telah ditempatkan di kem-kem baru yang belum siap sepenuhnya untuk diduduki.

“Langkah sedemikian telah mengganggu kehidupan mereka, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang bersekolah,” katanya.

Selain menggesa Hishammuddin menjawab persoalan yang dibangkitan, PATRIOT juga mengulangi cadangan agar RM500 juta digunakan untuk menyediakan unit perubatan veteran dan pesara polis di hospital awam seluruh negara.

“Memandangkan veteran dan pesara polis tinggal di merata tempat di negara ini, mempunyai unit-unit perubatan yang tidak terpusat, berbanding yang terpusat di Ipoh, adalah cara terbaik untuk maju ke hadapan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!