KUALA LUMPUR, 14 Apr – Bekas Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan insiden ‘Prebet Adam’ kira-kira 30 tahun lalu untuk mengaibkan Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar dan seterusnya menarik balik keistimewaan raja-raja Melayu.
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, Dr. Mahathir pada masa itu merupakan Perdana Menteri menggunakan media yang dikawal sepenuhnya untuk memfitnah Sultan Iskandar kononnya telah membunuh adik Prebet Adam Jaafar dengan kayu golf sehingga menyebabkan dia mengamuk di Chow Kit pada Oktober 1987.
Menurutnya, dakwaan tersebut menyebabkan hampir seluruh rakyat dalam negara percaya yang tindakan Adam itu adalah bagi membalas dendam terhadap perbuatan Sultan Johor.
“Tetapi kini, hakikat sebenar telah dijelaskan sendiri oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarga Adam yang tindakan tersebut tiada kaitan dengan kematian adik kepada Adam.
“Dr. Mahathir mengawal media dan mengarahkan polis untuk mendesak Adam mengaku yang dia mengamuk kerana adiknya dibunuh Sultan Johor ketika bermain golf. Beliau harus bertanggungjawab ke atas segala perbuatannya terutama terhadap Sultan Johor,” katanya selepas membuat laporan polis berkaitan perkara terbabit bersama enam NGO di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.
Dalam laporan tersebut, Jamal berkata, pihaknya bersama NGO lain mohon supaya polis membuka kertas siasatan terhadap penglibatan Dr. Mahathir dalam kes tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku pada Oktober 1987 itu, Adam dilaporkan mengamuk di Chow Kit, Kuala Lumpur hingga meragut satu nyawa yang seterusnya menimbulkan dua versi cerita yang didakwa menyebabkan anggota tentera itu bertindak sedemikian rupa.
Semalam, adik kepada Adam, Hawa Jaafar, 53, memberitahu, cerita yang dijaja masyarakat selama ini mengatakan seorang daripada adik mereka meninggal dunia selepas dipukul dengan kayu golf oleh Sultan Johor adalah karut dan tidak benar sama sekali.