Home Politik “Kalau BN yakin menang selesa, kenapa tindas Pakatan Harapan?” – Mahfuz

“Kalau BN yakin menang selesa, kenapa tindas Pakatan Harapan?” – Mahfuz

by M.Daim

ALOR SETAR, 14 Apr – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dato’ Hj Mahfuz Omar hari ini membidas kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sebelum ini menyatakan keyakinan Barisan Nasional (BN) akan menang selesa pada Pilihanraya Umum (PRU-14) akan datang.

Dalam kenyataan yang disampaikan oleh Mahfuz hari ini, BN tidak sepatutnya berpegang kepada kajian Oxfords Economics yang menjangkakan BN akan menang besar pada PRU-14 dengan bersandarkan manifesto BN.

“Sepatutnya BN tidak hanya berpegang kepada satu kajian semata-mata bagi menyedapkan ‘halwa telinga’ ahli serta penyokong BN untuk mendengar,” kata Mahfuz dalam kenyataannya.

“Seharusnya (BN)juga berpegang kepada berbagai kajian di lapangan lain yang jika dibaca oleh Setiausaha Agung BN boleh menyesakkan jiwa dan hati.”

Mahfuz mengatakan terdapat banyak kajian oleh badan kajian tempatan mendapati BN akan tumbang atau menang tipis dalam PRU-14. Menurut beliau, kajian tersebut  adalah fakta yang besar dan boleh dipercayai.

Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyatakan, jika benar BN berasa selesa dan akan menang besar pada PRU-14, sudah tentu Perdana Menteri tidak akan meluluskan Persempadanan Semula Pilihanraya dan Rang Undang-Undang AntiBerita Tidak Benar, tidak perlu menambah bilangan pengundi pos dalam senarai daftar pemilih, memaksa ROS membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan bertindak tidak meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan.

“Adakah dengan berasa selesa untuk menang,maka Hari Mengundi diumumkan pada 9 Mei 2018, hari Rabu oleh SPR. Mujur kerana desakan ramai, maka kerajaan terpaksa isytihar cuti umum pada hari tersebut,” kata Mahfuz.

Bagi beliau, kesemua tindakan tersebut menunjukkan BN sebenarnya dalam keadaan tersepit dan terdesak untuk menang.

Beliau turut menegaskan Pakatan Harapan perlu diberi ruang seluasnya di media eletronik dan media cetak sebagaimana yang dilakukan BN.

“Rakyat sedia maklum bahawa Pakatan Harapan hanya berkempen dengan jentera parti bukan jentera kerajaan, tidak meluluskan projek segera bersifat kecil atau mega di saat setiap kali menjelang musim pilihanraya,” tambah beliau.

Mahfuz turut menyatakan bahawa Setiausaha Agung BN patut berasa malu dengan tindakan pemimpin tetinggi BN yang terus menzalimi pembangkang dan menyekat arus kebangkitan rakyat.

Beliau turut membayangkan keadaan lebih teruk berlaku dengan pelbagai kemungkinan lebih dahsyat yang boleh berlaku dalam PRU akan datang.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!