KUALA LUMPUR, 12 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar Tim Menembak Tentera Darat (TMTD) bagi menyertai Pertandingan Australian Army Skill At Arms Meeting 2018 (AASAM 18).
Pertandingan itu diadakan di Combined Arms Training Centre, Puckapunyal, Australia bermula 27 April hingga 11 Mei 2018 ini akan melibatkan penyertaan oleh tentera negara-negara dari Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Timur, Eropah, Amerika Timur dan Amerika Syarikat.
Majlis penyerahan bendera Malaysia telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi kepada Ketua Kontinjen TMTD Lt Kol Roszaini Mohamad Alide di Wisma Pertahanan hari ini.
Selain daripada itu, Hasbullah turut menyempurnakan acara memakaikan Lencana Jaguh kepada semua anggota yang mewakili Tentera Darat ke pertandingan tersebut.
Pada edisi kali ini, TMTD menyenaraikan seramai 13 penembak dalam empat kategori yang akan dipertandingkan iaitu acara Rifel, Pistol, GPMG dan Sniper.
TMTD telah menyertai pertandingan ini sejak tahun 1996 di Belmont Range, Brisbane, Australia dan mengungguli tempat ketiga keseluruhan pada masa itu.