WASHINGTON, 11 Apr – Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Rusia bahawa peluru berpandu `akan datang’ ke Syria ekoran dakwaan serangan gas beracun di negara ini selain mengutuk Moscow yang mempertahankan Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Trump mengeluarkan kenyataan itu bagi membalas amaran Rusia semalam bahawa sebarang peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) yang dilancarkan ke Syria akan ditembak jatuh.
“Rusia berikrar akan menembak jatuh sebarang peluru berpandu yang dilancarkan ke Syria. Bersiap sedialah Rusia, peluru berpandu baharu dan `bijak’ akan datang,’’ kata Trump menerusi Twitter miliknya.
Dalam pada itu Kementerian Pertahanan Rusia membalas kenyataan Trump menerusi Facebook dengan menyatakan bahawa `peluru berpandu yang bijak seharusnya terbang ke arah pengganas dan bukannya ke arah kerajaan yang sah.’
Sementara itu, Pentagon enggan memberi sebarang ulasan tentang kenyataan Trump itu atau operasi tentera pada masa akan datang.
Jurucakap Pentagon, Eric Pahon menerusi kenyataannya meminta semua pihak agar merujuk kepada White House bagi mendapatkan penjelasan tentang kenyataan Presiden itu. – Reuters