ISKANDAR PUTERI, 11 Apr – Barisan Nasional (BN) Johor sudah memuktamadkan semua 82 calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata senarai calon yang dimuktamadkan itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada perubahan pada saat akhir selepas senarai itu diserahkan kepada Pengerusi BN.
“Pertemuan (bersama Najib) berjalan dengan baik dan kita (BN Johor) sudah siap dan muktamadkan nama-nama.
“Apabila tiba masa (sesuai) Perdana Menteri akan umumkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.