PETALING JAYA, 10 Apr – Tun Dr Mahathir menyifatkan keputusan untuk mengadakan hari mengundi pada 9 Mei 2018 yang jatuh hari Rabu adalah satu langkah tidak demokratik kerana ianya hari berkerja dan menyukarkan pengundi di luar kawasan untuk pulang mengundi.
Tambah beliau, ini adalah satu muslihat oleh Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Najib Razak untuk menyukarkan pengundi untuk menyokong Pakatan Harapan. Malah, beliau mendedahkan seramai 500,000 orang pengundi yang berkerja di Singapura akan menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi pada hari Rabu.
Beliau menyatakan perkara tersebut dalam Sidang Media Majlis Presiden Pakatan Harapan di Galeri PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya.
“Pada zaman saya, hari mengundi pada hari biasa dilakukan pada musim cuti,” jelas Tun Mahathir.
“Mengundi pada hari berkerja adlah menyukarkan pengundi dan secara tidak langsung menghalang pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Ini adalah tidak demokratik.”
Namun begitu, beliau menegaskan pihak Pakatan Harapan tidak mempunyai masalah dan yakin akan mampu untuk mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke-14 kelak.