Home PolitikPakatan Harapan Kerusi milik Bersatu kekal – Salahuddin Ayub

Kerusi milik Bersatu kekal – Salahuddin Ayub

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU,8 Apr – Naib Presiden Pakatan Harapan (Harapan), Salahuddin Ayub berkata, kerusi yang telah diputuskan untuk ditandingi Bersatu pada PRU14 nanti akan kekal milik parti berkenaan.

Salahuddin berkata mereka hanya bertanding atas nama Pakatan Harapan (Harapan).

“Jangan bimbang, kita telah menyatakan bahawa kerusi yang telah diputuskan dan dimiliki Bersatu sama ada Dun atau Parlimen tetap kerusi Bersatu dan itu juga adalah kerusi Harapan.

“Apa yang penting, kita mesti menangkan Harapan dan pilihan itu adalah di tangan rakyat untuk menentukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan pada Forum Kedai Kopi Stulang di Kedai Makanan Niang Toufu, Taman Maju Jaya, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Terdahulu, status pendaftaran Bersatu terungkai setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memutuskan parti itu dibubarkan buat sementara waktu.

Ketua pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, tempoh pembubaran tersebut adalah selama 30 hari, namun sekiranya Bersatu gagal memenuhi beberapa tuntutan yang dikehendaki, perintah itu menjadi mutlak serta pendaftaran parti akan dibatalkan.

Dalam pada itu, Salahuddin yakin Harapan mampu menang di  negeri ini.

“Harapan pada kali ini bukan sahaja menyaksikan tsunami orang Cina, India tetapi juga akan bersama dengan kebangkitan orang Melayu untuk kalahkan BN.

“Kita mesti tunjukkan kekuatan ini dan sekarang tak ada lagi parti yang bawa kaum Melayu, India atau Cina tetapi Harapan adalah parti untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Harapan gagal guna logo sendiri ekoran pendaftarannya ditolak RoS.

“Nak guna logo Harapan tetapi RoS tidak beri kelulusan.

“Maka, kami dari Amanah, DAP, PKR dan Bersatu bersetuju guna satu lambang untuk lawan dacing BN,” katanya.

Terdahulu, Harapan sepakat menggunakan logo PKR untuk bertanding pada PRU14 nanti.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad di Taman Bukit Dahlia, di sini, kelmarin.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!