New York, 8 April – Seorang maut manakala empat lagi cedera ringan dalam kebakaran di tingkat 50 Trump Tower, kata pegawai bomba. Mangsa Todd Brassner, 67, adalah seorang ahli perniagaan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Mt.Sinai-West.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang memiliki pejabat dan kediaman peribadi di bangunan yang terletak di tengah bandar Manhattan itu berada di luar daerah ketika kejadian.
Pihak berkuasa bomba masih belum mengenalpasti punca kebakaran, sambil menambah tiada anggota keluarga Trump berada di bangunan itu ketika kejadian.
Kira-kira 200 anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian yang dikategori sebagai kebakaran tahap empat.
Januari lalu, tiga orang cedera dalam satu kebakaran yang berlaku di tingkat paling atas Trump Tower. Seorang anggota bomba dimasukkan ke hospital manakala dua lagi mengalami cedera ringan, kata Jabatan Bomba New York.