Pasir Gudang, 7 Apr – Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengumumkan dengan rasminya mereka akan menyertai PRU ke-14 dengan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada program ceramah Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, di sini, malam tadi.
Tun Mahathir berkata tidak mudah untuk parti yang bergabung dalam HARAPAN menggugurkan lambang masing-masing bagi menggantikannya dengan logo PKR semasa menyertai PRU ke-14 ini.
“DAP telah guna roket hampir selama 60 tahun. (Parti) yang lain juga sayang kepada simbol masing-masing tetapi kerana kita ingin bersatu padu, keempat-empat parti ini akan guna satu simbol.
“Saya dengan sukacita ingin maklum dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini, keempat-empat buah parti ini (DAP, PKR, Amanah) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai individu, akan menggunakan simbol Keadilan (PKR),” katanya berucap pada program berkenaan.
Turut hadir di majlis ceramah Jelajah HARAPAN Johor itu ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu serta dianggarkan kira-kira 4,500 orang telah menghadiri ceramah HARAPAN malam tadi.