KANGAR 6 Apr – Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis berkuat kuasa esok selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Pengumuman tersebut dibuat dalam sidang akhbar khas di Kompleks DUN di sini yang turut dihadirioleh seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri petang tadi.
“Saya telah berjumpa Raja Perlis kira-kira pukul 2.30 petang tadi bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN seperti yang termaktub dalam perkara 55 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Harapan saya pilihan raya kali ini berlangsung dalam keadaan harmoni dan parti-parti politik bertanding diharap dapat mematuhi segala peraturan ditetapkan pihak keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan menyerah kepada rakyat untuk menentukan parti mana patut diberikan peluang memerintah negeri ini selepas pilihan raya nanti.
“Saya serahkan pada rakyat membuat penilaian apa yang telah dilakukan kerajaan BN berbanding Pakatan Harapan dalam tempoh lima tahun ini.
“Kita telah menjalankan tugas dengan konsisten termasuk menunaikan aku janji pada pilihan raya lalu,” katanya.